22 July 2006

PENDORONG KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN DIRI

Bagaimana Menjadi Seorang Individu yang Bermotivasi
Usaha untuk menjadi seorang individu yang bermotivasi bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Hal ini bergantung kepada diri anda sendiri. Sekiranya anda bersikap positif dan bersemangat kental, anda pasti berjaya. Yang berikut diberikan beberapa panduan untuk menjadi seorang individu yang bermotivasi.

1. Berani menghadapi masalah
Semua orang sememangnya menghadapi masalah. Lari daripada masalah tidak akan memberikan sebarang penyelesaian malah semakin mendatangkan masalah! Sebagai individu yang bermotivasi, anda mestilah bersedia menghadapi dan mengatasinya. Anggaplah masalah sebagai cabaran kerana masalah dapat menjadikan anda individu yang berfikiran matang dan kaya dengan pengalaman.

2. Bijak bertindak
Jangan tangguhkan kerja-kerja yang boleh anda lakukan dalam masa yang singkat. Gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Lakukan tugas mengikut jadual yang telah ditetapkan. Jangan berpura-pura melakukan kerja untuk menunjukkan anda rajin sedangkan hasilnya tiada kerana hanya akan merugikan diri anda sendiri.

3. Jangan mudah putus asa
Jangan begitu mudah menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berputus asa. Sebaliknya, jadikan kegagalan lalu sebagai cabaran bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan. Cuba cari punca kegagalan tersebut dan berusaha untuk mengatasinya.

4. Bermatlamat
Anda perlu mempunyai matlamat hidup yang jelas untuk mengetahui perkara yang harus dilakukan pada hari ini, esok dan seterusnya. Rancanglah matlamat tersebut mengikut kemampuan anda sendiri. Bak kata pepatah, ‘Ukur baju di badan sendiri’.
Matlamat diri penting untuk menjadikan anda bermotivasi dan berdaya maju. Tanpa matlamat, anda sukar untuk mengetahui arah tujuan hidup yang sebenar. Anda juga perlu mengetahui tindakan yang harus dilakukan untuk memperoleh kecemerlangan.

5. Mencontohi kejayaan orang lain
Jadikan kejayaan orang lain sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Sahabat juga memainkan peranan penting sebagai pendorong untuk menjadikan anda seorang individu yang bermotivasi. Sahabat yang baik ialah sahabat yang bersedia memberikan bantuan kepada rakannya untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Sekiranya orang lain mampu memperoleh kejayaan, mengapa tidak anda?

6. Kikis fikiran negatif dan gantikan dengan fikiran positif
Kikis semua fikiran negatif anda. Melalui pemikiran yang positif, anda akan yakin untuk melakukan sesuatu perkara. Pemikiran positif berupaya membentuk peribadi anda menjadi lebih berketerampilan.

7. Kuatkan azam untuk berjaya
Tekadkan azam anda. Katakan “Insya-AIlah, saya boleh melakukannya.” Jika anda bersikap demikian, segala matlamat dan impian akan mudah dicapai.

8. Bersedia menerima kritikan dan pendapat orang lain
Terima pendapat dan kritikan orang lain dengan hati yang terbuka. Anda harus sedar bahawa setiap kritikan yang membina dan pendapat yang diberi boleh membantu anda mencapai kecemerlangan. Jangan anggap kritikan dan komen orang lain sebagai alasan pemutus semangat untuk berjaya.

9. Mengakui kelemahan diri
Jangan berpura-pura pandai dan serba tahu. Bersedia mengakui kelemahan dan cuba untuk mengatasinya. Sesungguhnya kita harus bersedia untuk belajar daripada kesilapan. Jangan malu bertanya jika anda benar-benar tidak faham tentang sesuatu perkara.

10. Inisiatif diri sendiri
Seseorang individu yang ingin cemerlang perlu mempunyai keinginan dan hasrat untuk memajukan dirinya sendiri. Kejayaan untuk diri anda bukan datang daripada orang lain. Anda sendiri perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencapai kecemerlangan.

11. Berminat dengan tugas yang dilakukan
Minat dalam setiap tugas yang hendak dilaksanakan perlu ada dalam diri setiap individu supaya tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Jika tugas yang diberikan mampu dilaksanakan dengan berkesan, hal ini menunjukkan anda sebenarnya berkebolehan.

12. Ketabahan hati
Hakikatnya ialah, kecemerlangan bukanlah suatu perkara yang rnudah untuk dicapai. Jika anda ingin mengecap kecemerlangan, semangat yang cekal dan tabah dalam menghadapi pelbagai dugaan perlu wujud dalam diri.

No comments: