02 September 2009

Gurindam Petua Seorang Guru

Kalau guru mengajar sambil duduk,
Murid belajar sambil mengantuk.

Kalau guru mengajar gaya pelakon,
Murid belajar dengan tekun,

Kalau guru mengajar tanpa alat,
Murid belajar dengan ralat.

Kalau guru yang banyak bercakap,
Ada murid bertambah gagap.

Kalau guru menjadi pemudah cara,
Ramai murid pandai berbicara.

Kalau guru mengajar tanpa menilai,
Takkan tahu murid bodoh atau pandai.

Kalau guru berbudi bahasa,
Dikenang murid sepanjang masa.

Kalau guru berinovatif,
Pengajaran tentu lebih efektif.

Kalau guru tidak belajar,
Samalah taraf dengan pelajar.

Jadilah guru sebenar guru,
Moga dikenang segala juru.......

Kepentingan Disiplin Diri untuk Mencapai Matlamat

Disiplin diri adalah penting dalam mengubah rancangan menjadi realiti malah disiplin diri merupakan fakta penting dalam mencapai kejayaan peribadi. Disiplin diri membantu kita menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan kita. Disiplin diri adalah FOKUS seseorang kepada aktiviti-aktiviti penting SEHINGGA SELESAI tanpa mengalihkan perhatian kepada perkara lain.

Di bawah ini disenaraikan beberapa perkara yang boleh dijadikan sedikit panduan kepada anda dalam menangani masalah disiplin diri:

1. Tumpukan usaha anda kepada pencapaian matlamat-matlamat penting anda. Laksanakan perkara yang utama dahulu dan ketepikan perkara yang remeh-temeh atau boleh diketepikan buat sementara waktu.

2. Tulis dan pamerkan matlamat yang ingin anda capai dalam jangka masa tertentu di tempat-tempat yang mudah dilihat.

3. Amalkan perancangan harian. Tentukan tugasan yang hendak dilaksanakan dan prioritinya (kepentingannya).

4. Tentukan tarikh akhir yang realistik untuk menyiapkan tugasan yang tidak disukai atau sukar. Tarikh akhir akan menimbulkan rasa mendesak yang akhirnya akan menyebabkan tugas tersebut selesai juga akhirnya.

5. Mulakan dan usahakan sesuatu tugasan. Elakkan daripada terperangkap oleh keinginan mencapai kesempurnaan sehingga anda langsung tidak berusaha.

6. Cipta momentum dalam meneruskan sesuatu tugasan yang tidak disukai. Luangkan masa anda untuk menyelesaikannya atau kalau rasa tertekan, mulakan dengan kerja pada bahagian yang mudah.

7. Hitung kos perbuatan anda yang suka melengah-lengahkan sesuatu perkara. Apakah kerugian anda?

8. Pemantauan secara berterusan perlu anda lakukan terhadapa kerja-kerja yang dilakukan. Adakah kejayaan yang dicapai seperti yang diharapkan? Jika tidak, betulkan kesilapan anda.

9. Belajarlah untuk menghargai kerja sendiri dengan meraikan kejayaan dalam melaksanakan kerja anda walau sekecil mana sekalipun tugas tersebut.

10. Selalulah berazam pada diri sendiri " Aku mampu melakukannya".

20 September 2008

NAIK SALAH, TURUN PUN SALAH

Pada zaman dulu di negara Arab, ramai orang menunggang keldai sebagai kenderaan. Seorang bapa membawa anaknya ke satu tempat dengan membawa seekor keldai. Kedua-dua mereka menaiki keldai itu dan lalu di sebuah pekan. Keadaan ini menarik perhatian orang ramai. Ada antara mereka berkata "Ini kes aniaya. Keldai tu sudahlah kecil. Kedua-dua orang pula yang naik. Bukankah menyeksa binatang... Tak ada perikemanusiaan langsung".

Si bapa mendengar komen mereka. Lalu si bapa turun dan membiarkan anaknya sendirian di atas keldai. Si bapa meneruskan perjalanan sambil berjalan kaki. Mereka pun melalui sekumpulan orang ramai. Sekali lagi ada yang komen, "Biadab punya anak. Dia sedap-sedap naik keldai. Bapanya dibiarkan berjalan kaki."

Si anak mendengar komen mereka, lalu dia turun dan menyuruh bapanya pula menunggang keldai. Si anak berjalan kaki mengiringi bapanya di atas keldai. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Sekali lagi mereka mendengar rungutan "Bapa tak ada otak, dia seronok naik keldai, anaknya dibiarkan berpeluh berjalan."

Mendengar komen itu, si bapa pun turun dan berjalan bersama-sama anak. Keldai itu dibiarkan berjalan sendirian. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Masih ada yang komen "Apalah bodohnya orang tua ini. Ada keldai tapi tak mahu naik. Kalau macam ini, lebih baik tak payah bawa keldai!"

Mendengar kata-kata ini, si bapa pun memberitahu anaknya. "Beginilah keadaan masyarakat, anakku. Mereka hanya pandai komen. Pandai melihat kesalahan orang. Ada saja yang tak betul. Kalau kita ikut saja kata-kata mereka rosak kita. Kita tidak boleh terima pandangan mereka secara melulu. Kita kena fikirkan kesemuanya dan kita buat apa-apa yang baik pada kita. Jangan pedulikan komen mereka.."

Tetamu Yang Pergi

Mereka hanya sekadar singgah
dan berbual kosong
sementara hampir waktu keberangkatan
yang pastinya mengundang seribu pertanyaan
tanpa sedar
horizon bangsa tenggelam mendap
menjadi karang
tanpa dapat melakar siang.

Kasihku
bangsaku
mekarlah taman jiwa
persembahkan pencak juara
menghimpun restu
jiwai kecemerlangan.

Selami naluri diri...
kitakah mereka
yang hanya sekadar singgah itu....

Sediakan Payung Sebelum Hujan


Ungkapan di atas mengingatkan kita supaya membuat persiapan awal sebelum sesuatu peristiwa yang membawa penye­salan itu berlaku. Kebiasaannya pada awal tahun ramai pelajar yang menganggapkan adalah ter­lalu awal untuk mengulang kaji sesuatu pelajaran. Begitu juga bagi pelajar yang berada di kelas yang tidak menduduki peperiksaan awam akan menganggap tahun ter­sebut adalah ta­hun untuk bersuka ria tanpa menghirau­kan sangat soal pelajaran. Usaha mengulang kaji pelajaran perlulah dila­kukan berterusan dan bukannya ber­musim.

Rata-rata pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan menga­takan bahawa rahsia kejayaan mereka ialah kerana memberi perhatian sepenuhnya di ke­las ketika guru sedang mengajar. Hal ini bermakna bahawa segala masalah pembelaja­ran yang timbul harus diselesaikan di dalam kelas dan bukannya dibawa balik ke rumah.

Penyelesaian masalah pembelajaran dapat dilakukan dalam beberapa cara:

-Berinteraksi dengan rakan: Pelajar boleh menyemak atau belajar bersama-sama dengan rakan sebaya. Melalui perbincangan, sebarang masalah dapat diselesaikan dengan segera. Perbincangan juga mampu mengelakkan rasa bosan ketika belajar.

-Merujuk kepada guru: Guru bukan sahaja sebagai seorang pembimbing malah menjadi ibu atau bapa kepada pelajar ketika di sekolah. Pelajar tidak harus takut pada guru tetapi hormat dan patuh segala peraturan yang disediakan. Segala kekeliruan, kekusutan sama ada masalah pelajaran atau masalah peribadi, guru dan guru kaunseling harus dijadikan tempat rujukan dan tempat meluahkan segala masalah tanpa berasa malu atau takut. Guru kaunseling misalnya boleh membantu para peIajar dalam memberi khidmat nasihat sama ada dalam penentuan kerjaya atau masalah peribadi.

-Merujuk pusat sumber atau bahan media: Pusat sumber selaku gedung ilmu harus dijadikan seolah-olah rumah kedua pelajar. Manakala bahan media seperti akhbar, majalah, cd-rom dan internet mampu menambahkan koleksi bahan bacaan dan rujukan

Oleh itu, langkah bijak untuk menggunakan segala kemu­dahan di atas ialah dengan mempraktikkannya sepanjang tahun serta secara berterusan. Janganlah apabila terdesak ba­rulah kita tergesa-gesa untuk menyelesaikannya seperti kata pepatah Melayu, `sudah terhantuk baru nak tengadah’. Per­buatan sedemikian sudah terlambat, umpama ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Jadi, `sediakan payung sebelum hujan’!

11 May 2007

ANAK-ANAK MELAYU

Apa nak jadi anak melayu
Semakin hari semakin layu
Hidup tiada arah tuju
Hanya buat benda merapu.

Pantang ditegur mudah melenting
Perangai tak ubah macam samseng
Bau badan macam kambing
Kalau dekat tentulah pening.

Katanya kenapa sibuk menggangguku
Apa dibuat ikut suka aku
Jangan jaga tepi kainku
Lantaklah kalaupun nak jadi hantu paku!

Tidak peduli masa depannya
Biar papa asal bergaya
Lu caya gua caya
Ini betul-betul kes aniaya.

Mengapa terlalu mengejar mimpi
Sedang semuanya bukan yang pasti
Ralit melayan kehendak naluri
Nantikan rebah di bumi sendiri.

Jangan nak bercakap sektor dan bidang
Dianggap berat buat kepala bengang
Hanya suka benda yang senang
Dua campur dua dah dianggap cemerlang!

Tunggang motor sehabis laju
Meniarap berdiri sudahlah tentu
Tayar dua diangkat satu
Katanya “Sebenarnya tuan... ini motor bapaku!”

Jantan betina berperangai hantu
Lelaki perempuan tentu tak begitu
Macam mana nak buat menantu
Nanti pak mentua pun entah diluku.

Sedarlah segera saudaraku semua
Jangan terus lalai dan alpa
Sebelum terlepas ke tangan mereka...
Bangun pertahan maruah bangsa!

Ingatlah semua nasihat pesanan
Ikhlas dan luhur sebagai pengajaran
Jika diabai tugas dan peranan
Tentu akhirnya kita kan kempunan.


Malas belajar asyik berangan
Alah.... periksa tahun hadapan
Menghadap tv tidak tinggalkan
Ikut pesan penaja rancangan!

Telefon bimbit siap bluetooth
Harga beribu dianggap patut
Tujuan beli sudah terbantut
Ibu jari pun semakin kontot.

Kian hari semakin ketinggalan
Hanyut dalam roda impian
Jika tak sedar dari lamunan
Tiada kan berguna segala penyesalan...

Sifat terpuji mesti dibina
Bangunkan diri bersiap siaga
Elak dari perangkap durjana
Barulah kemajuan dapat dijana!

11 March 2007

Keutamaan Ilmu Atas Amal

Antara keutamaan yang dibenarkan oleh agama ialah keutamaan ilmu atas amal. Ilmu itu harus didahulukan atas amal, kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi arah amal yang akan dilakukan. Dalam hadits Mu'adz disebutkan, "ilmu itu pemimpin, dan amal adalah pengikutnya."
Dengan ilmu pengetahuan kita dapat mengetahui perkara yang mesti didahulukan dan perkara yang harus diakhirkan. Tanpa ilmu pengetahuan kita akan kehilangan arah, dan melakukan tindakan yang tidak jelas.
Benarlah ucapan khalifah Umar bin Abdul Aziz, "Barang siapa melakukan suatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan tentang hal itu maka apa yang rosak lebih banyak daripada apa yang diperbaik." Keadaan seperti ini jelas pada sebahagian kaum Muslimin, yang tidak kurang kadar ketaqwaan, keikhlasan, dan semangatnya; tetapi mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan, pemahaman terhadap tujuan ajaran agama, dan hakikat agama itu sendiri.

05 August 2006

KISAH POKOK EPAL

Pada suatu masa dahulu, ada sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta makan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu.....

Budak lelaki itu sudah menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain berdekatan dengan pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab remaja itu.

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu.....

Suatu hari, remaja itu kembali. Dia sudah menjadi seorang lelaki muda. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" tanya pemuda itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.

Lalu, pemuda itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana pemuda itu tidak kembali lagi selepas itu.

Pada suatu hari yang panas, seorang lelaki dewasa datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya ialah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki tua datang menuju pokok epal itu. Dia ialah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati...," kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.

Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis bersama-sama.......



CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR TENTANG PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIMAKSUDKAN DALAM CERITA ITU IALAH KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. APABILA KITA MASIH MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DALAM KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA-APA SAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP.

ANDA MUNGKIN TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITULAH HAKIKAT SEBENAR LAYANAN KEBANYAKAN ANAK MASA KINI TERHADAP IBU BAPA MEREKA. HARGAILAH JASA IBU BAPA KEPADA KITA. JANGAN HANYA MENGHARGAI MEREKA SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA SETIAP TAHUN....

SEMOGA MEMBERIKAN KEINSAFAN DAN KESEDARAN KEPADA REMAJA KITA.

(Artikel ini dialih bahasa dalam bahasa Melayu daripada artikel asal dalam bahasa Inggeris.)

AWAS, BALA AKAN MENIMPA KITA......

Daripada Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu:



1. Apabila harta negara hanya beredar dalam kalangan orang tertentu sahaja
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3. Zakat dijadikan hutang
4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara yang bertentangan dengan syariat)
5. Anak derhaka terhadap ibunya
6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.
7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum ialah orang yang paling hina antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Arak sudah diminum secara berleluasa.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan / didendangkan.
15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain"
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

22 July 2006

20 PERKARA JANGAN...

Sesungguhnya hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi ingatlah, ada antaranya yang mendatangkan keburukan kepada kita. Di bawah ini terdapat 20 perkara JANGAN yang seharusnya kita ambil iktibar. Semoga umat Islam akan terus unggul di dunia.



-Jangan sengaja melewat-lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh Allah.

-Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Hal ini kerana bimbang kalau-kalau terbawa keluar najis yang akan mengotorkan rumah kita.

-Jangan makan dan minum menggunakan bekas yang pecah atau sumbing. Hukumnya makruh kerana membahayakan keselamatan diri.

-Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.

-Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat.

-Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

-Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan.

-Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.

-Jangan biarkan mata liar dalam perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

-Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk daripada baiknya.

-Jangan menangguh-nangguhkan taubat apabila berbuat dosa kerana mati datang bila-bila masa.

-Jangan ego untuk meminta maaf daripada ibu bapa dan sesama manusia.

-Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita.

-Jangan lupa bergantung harap kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

-Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

-Jangan banyak ketawa. Nanti jiwa mati.

-Jangan biasakan berbohong, kerana berbohong adalah ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

-Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.

-Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih utama dan kekal selama-lamanya.

-Jangan mempertikaikan sebab ISLAM menetapkan larangan. ALLAH Maha Mengetahui perkara yang terbaik untuk hamba ciptaan-Nya.

Good Morning Putrajaya

Di manakah aku menjadi rewang,
beroleng & kacau kalut
sekuala, semuara, sepulau, selaut segunung, sebukit, sebusut, sebutir pasir
dan masih tak mengerti.
tersenyum bingung!

Precint
makna apakah itu kamusku
jalan atau lorong sepi dinihari?

Boulevard
makna apakah itu kamusku
Bollywood atau Hollywood
yang mangli?

Parcel
makna apakah itu kamusku
kantor atau sarang burung mati?

Semantik apakah yang membebankan sinonimnya
melempar bahasa ibunda
melontar bahasa warga kita
dalam siber yang tertunda lensa.

Alamanda
bungaku dan celah & ceruk kampung
subur seputrajaya
tak ternoda moden bahasa.

Good morning Putrajaya
bin@binti apakah engkau
di sisi bonda.

(Sajak Nukilan WAN ZAHARI WAN ALI)

Wasiat Hikmat Hassan al-Banna

Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di sebuah desa al-Mahmudiyyah dalam al­Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dan sebuah perkampungan petani yang terkenal dengan ketaatan ajaran dan nilai Islam. Keluarganya juga ulama yang dihormati. Bapanya, Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman al­-Banna ialah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Hassan al-Banna menjadi pemimpin dan pe­ngasas gerakan Ikhwan Musilmin yang dihormati. Melalui kepemimpinan dan didikannya, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan se­mula Islam abad ini.

Antara wasiat beliau yang terkenal ialah:

-Apabila mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta-merta walau dalam keadaan apa-apa sekali pun.

-Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, per­gilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

-Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.

-Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi kebaikan apa-apa.

-Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

-Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melain­kan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

-Janganlah bercakap lebih nyaning daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah menyakiti hati orang.

-Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan perkara yang memberi kebajikan.

-Berkenal-kenalan dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.

-Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaannya.

Dalam Saf Insaf

Tuhan
Telah ditakdirkan hari itu
Aku ke kota solat Jumaat di rumah-Mu
Tenang terbentang wadah ibadat
Di kananku seorang buta yang celik
Di kiriku seorang buta yang cerdik
Di tengahnya aku yang keliru dan kelabu
Tentang terangnya mata hatimu
Tentang cahaya anugerah Ilahi
Kekuranganmu itu seribu kelebihan
Saf insaf menghampar iktibar
Tuhan Maha Melihat dan Maha Mengetahui
Bahawa insan mulia paling terpuji
Di sisi-Mu, paling banyak beriman
Bukan cantik pada indera kesempurnaan.

(Sajak Nukilan AMI MASRA, USJ, Subang Jaya.)

PENDORONG KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN DIRI

Bagaimana Menjadi Seorang Individu yang Bermotivasi
Usaha untuk menjadi seorang individu yang bermotivasi bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Hal ini bergantung kepada diri anda sendiri. Sekiranya anda bersikap positif dan bersemangat kental, anda pasti berjaya. Yang berikut diberikan beberapa panduan untuk menjadi seorang individu yang bermotivasi.

1. Berani menghadapi masalah
Semua orang sememangnya menghadapi masalah. Lari daripada masalah tidak akan memberikan sebarang penyelesaian malah semakin mendatangkan masalah! Sebagai individu yang bermotivasi, anda mestilah bersedia menghadapi dan mengatasinya. Anggaplah masalah sebagai cabaran kerana masalah dapat menjadikan anda individu yang berfikiran matang dan kaya dengan pengalaman.

2. Bijak bertindak
Jangan tangguhkan kerja-kerja yang boleh anda lakukan dalam masa yang singkat. Gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Lakukan tugas mengikut jadual yang telah ditetapkan. Jangan berpura-pura melakukan kerja untuk menunjukkan anda rajin sedangkan hasilnya tiada kerana hanya akan merugikan diri anda sendiri.

3. Jangan mudah putus asa
Jangan begitu mudah menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berputus asa. Sebaliknya, jadikan kegagalan lalu sebagai cabaran bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan. Cuba cari punca kegagalan tersebut dan berusaha untuk mengatasinya.

4. Bermatlamat
Anda perlu mempunyai matlamat hidup yang jelas untuk mengetahui perkara yang harus dilakukan pada hari ini, esok dan seterusnya. Rancanglah matlamat tersebut mengikut kemampuan anda sendiri. Bak kata pepatah, ‘Ukur baju di badan sendiri’.
Matlamat diri penting untuk menjadikan anda bermotivasi dan berdaya maju. Tanpa matlamat, anda sukar untuk mengetahui arah tujuan hidup yang sebenar. Anda juga perlu mengetahui tindakan yang harus dilakukan untuk memperoleh kecemerlangan.

5. Mencontohi kejayaan orang lain
Jadikan kejayaan orang lain sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Sahabat juga memainkan peranan penting sebagai pendorong untuk menjadikan anda seorang individu yang bermotivasi. Sahabat yang baik ialah sahabat yang bersedia memberikan bantuan kepada rakannya untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Sekiranya orang lain mampu memperoleh kejayaan, mengapa tidak anda?

6. Kikis fikiran negatif dan gantikan dengan fikiran positif
Kikis semua fikiran negatif anda. Melalui pemikiran yang positif, anda akan yakin untuk melakukan sesuatu perkara. Pemikiran positif berupaya membentuk peribadi anda menjadi lebih berketerampilan.

7. Kuatkan azam untuk berjaya
Tekadkan azam anda. Katakan “Insya-AIlah, saya boleh melakukannya.” Jika anda bersikap demikian, segala matlamat dan impian akan mudah dicapai.

8. Bersedia menerima kritikan dan pendapat orang lain
Terima pendapat dan kritikan orang lain dengan hati yang terbuka. Anda harus sedar bahawa setiap kritikan yang membina dan pendapat yang diberi boleh membantu anda mencapai kecemerlangan. Jangan anggap kritikan dan komen orang lain sebagai alasan pemutus semangat untuk berjaya.

9. Mengakui kelemahan diri
Jangan berpura-pura pandai dan serba tahu. Bersedia mengakui kelemahan dan cuba untuk mengatasinya. Sesungguhnya kita harus bersedia untuk belajar daripada kesilapan. Jangan malu bertanya jika anda benar-benar tidak faham tentang sesuatu perkara.

10. Inisiatif diri sendiri
Seseorang individu yang ingin cemerlang perlu mempunyai keinginan dan hasrat untuk memajukan dirinya sendiri. Kejayaan untuk diri anda bukan datang daripada orang lain. Anda sendiri perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencapai kecemerlangan.

11. Berminat dengan tugas yang dilakukan
Minat dalam setiap tugas yang hendak dilaksanakan perlu ada dalam diri setiap individu supaya tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Jika tugas yang diberikan mampu dilaksanakan dengan berkesan, hal ini menunjukkan anda sebenarnya berkebolehan.

12. Ketabahan hati
Hakikatnya ialah, kecemerlangan bukanlah suatu perkara yang rnudah untuk dicapai. Jika anda ingin mengecap kecemerlangan, semangat yang cekal dan tabah dalam menghadapi pelbagai dugaan perlu wujud dalam diri.