22 July 2006

Wasiat Hikmat Hassan al-Banna

Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di sebuah desa al-Mahmudiyyah dalam al­Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dan sebuah perkampungan petani yang terkenal dengan ketaatan ajaran dan nilai Islam. Keluarganya juga ulama yang dihormati. Bapanya, Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman al­-Banna ialah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Hassan al-Banna menjadi pemimpin dan pe­ngasas gerakan Ikhwan Musilmin yang dihormati. Melalui kepemimpinan dan didikannya, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan se­mula Islam abad ini.

Antara wasiat beliau yang terkenal ialah:

-Apabila mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta-merta walau dalam keadaan apa-apa sekali pun.

-Bacalah al-Quran, tatapilah buku ilmu, per­gilah ke majlis ilmu, dan amalkan zikrullah serta jangan membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

-Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.

-Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi kebaikan apa-apa.

-Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

-Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melain­kan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

-Janganlah bercakap lebih nyaning daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah perkara yang sia-sia, malah menyakiti hati orang.

-Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan perkara yang memberi kebajikan.

-Berkenal-kenalan dengan setiap Muslimin yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.

-Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskan pelaksanaannya.

No comments: