20 September 2008

NAIK SALAH, TURUN PUN SALAH

Pada zaman dulu di negara Arab, ramai orang menunggang keldai sebagai kenderaan. Seorang bapa membawa anaknya ke satu tempat dengan membawa seekor keldai. Kedua-dua mereka menaiki keldai itu dan lalu di sebuah pekan. Keadaan ini menarik perhatian orang ramai. Ada antara mereka berkata "Ini kes aniaya. Keldai tu sudahlah kecil. Kedua-dua orang pula yang naik. Bukankah menyeksa binatang... Tak ada perikemanusiaan langsung".

Si bapa mendengar komen mereka. Lalu si bapa turun dan membiarkan anaknya sendirian di atas keldai. Si bapa meneruskan perjalanan sambil berjalan kaki. Mereka pun melalui sekumpulan orang ramai. Sekali lagi ada yang komen, "Biadab punya anak. Dia sedap-sedap naik keldai. Bapanya dibiarkan berjalan kaki."

Si anak mendengar komen mereka, lalu dia turun dan menyuruh bapanya pula menunggang keldai. Si anak berjalan kaki mengiringi bapanya di atas keldai. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Sekali lagi mereka mendengar rungutan "Bapa tak ada otak, dia seronok naik keldai, anaknya dibiarkan berpeluh berjalan."

Mendengar komen itu, si bapa pun turun dan berjalan bersama-sama anak. Keldai itu dibiarkan berjalan sendirian. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Masih ada yang komen "Apalah bodohnya orang tua ini. Ada keldai tapi tak mahu naik. Kalau macam ini, lebih baik tak payah bawa keldai!"

Mendengar kata-kata ini, si bapa pun memberitahu anaknya. "Beginilah keadaan masyarakat, anakku. Mereka hanya pandai komen. Pandai melihat kesalahan orang. Ada saja yang tak betul. Kalau kita ikut saja kata-kata mereka rosak kita. Kita tidak boleh terima pandangan mereka secara melulu. Kita kena fikirkan kesemuanya dan kita buat apa-apa yang baik pada kita. Jangan pedulikan komen mereka.."

No comments: